KUALA LUMPUR 24 Mac - Kata-kata manis seorang pegawai pemasaran sebuah syarikat pelancongan cukup membuat sekumpulan pekerja teruja lalu sanggup membayar sehingga RM30,000 untuk pergi melancong ke luar negara. Ada antara mereka ini ditawarkan pakej percutian ke Taiwan, Korea dan beberapa buah wilayah di China, antaranya Hainan, Shandong, Tanjing, Zhangjiajie. Namun hasrat pekerja yang gemar melancong ini bagaimanapun berkecai apabila agensi pelancongan itu sebenar telah menipu lebih 90 pelanggannya secara berasingan sejak tahun lalu. Ketua Jabatan Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, sehingga kini pihaknya menerima lebih 70 aduan daripada mangsa sindiket tipu itu sejak awal bulan ini. Agensi pelancongan beribu pejabat di Jalan Imbi di sini dikatakan menawar pelbagai pakej percutian murah ke luar negara. "Agensi pelancongan itu dikatakan memperoleh keuntungan hampir RM200,000 hasil penipuan ke atas pelanggan yang terdiri daripada penduduk sekitar Lembah Klang," katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini Turut hadir Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pelesenan Kementerian Pelancongan Malaysia, Muhammad Rudy Khairudin Mohd. Nor. Michael berkata, taktik agensi pelancongan itu adalah meminta mereka membayar harga pakej pelancongan itu empat bulan lebih awal iaitu sejak tahun lalu. Bagaimanapun, menurutnya, setiap kali tarikh pelanggan mereka akan berlepas ke destinasi, agensi itu akan menunda tarikh penerbangan mangsa. Tambahnya, agensi itu kemudian berjanji untuk menetapkan tarikh baru penerbangan yang sesuai namun mereka kemudian menghilangkan diri. "Terdapat segelintir mangsa yang cuba mendapatkan penjelasan daripada syarikat itu namun, agensi itu sudah tidak lagi beroperasi," katanya. Sementara itu, Muhammad Rudy Khairudin berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai kegiatan sindiket penipuan itu dan sudah menyenaraihitamkan agensi tersebut," katanya. Menurut Rudy, agensi itu juga dibatalkan lesen pelancongannya di bawah Akta Industri Pelancongan 1992. Sementara itu, salah seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Hon berkata, dia dan beberapa rakannya masing-masing telah membayar sebanyak RM30,000 untuk pergi ke Taiwan. Jumlah itu, katanya, membabitkan kos penerbangan, penginapan dan makanan untuk dia dan beberapa ahli keluarganya. "Saya pada mulanya sangat gembira untuk melancong. Bagaimanapun, dua hari sebelum penerbangan, agensi itu memaklumkan tarikh penerbangan ditunda disebabkan cuaca buruk," katanya. Namun, dia berasa tertipu setelah pergi ke syarikat itu beberapa hari kemudian dan mendapati syarikat tersebut sudah tidak beroperasi.
RELATED
|